BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

EPISOD 1

Pada detik-detik terakhir seorang presiden memegang tampuk pemerintahan,tidak menarik minat para sejarahwan sejak William Henry Harrison memerintah (31 hari dari tarikh pelantikan sehingga tarikh kematiannya).Arthur Morgan mengurung diri di dalam Pejabat Oval bersama satu-satunya sahabat yang masih setia kepadanya sambil menimbang keputusan yang akan diambilnya.Saat ini,dia berasa seolah-olah membuat keputusan yang salah sepanjang empat tahun pentadbirannya.Tidak mungkin pula dia dapat membetulkan keadaan pada saat-saat akhir ini.Temannya pula tidak terlalu yakin,walaupun,seperti biasa apabila dia bersuara,apa yang dikatakannya adalah apa yang ingin didengar oleh presiden.
 Ini soal pengampunan.Rayuan daripada pencuri,penyeleweng dan penipu.Sesetengah masih meringkuk di dalam penjara,ada juga yang tidak pernah menjejakkan kaki ke penjara tetapi mahu nama mereka dibersihkan dan hak mereka dikembalikan.Mereka semua sama,mengaku sebagai kawan,kawan kepada kawan ataupun penyokong kuat.Namun hanya segelintir sahaja yang berpeluang mengisytiharkan sokongan mereka sementara keadaan masih mengizinkan.Sungguh menyedihkan,selepas empat tahun berhempas-pulas memerintah negara    ini,semuanya berakhir menjadi sekadar permintaan daripada sekumpulan penyagak.Pencuri yang manakah akan diizinkan mencuri lagi?Persoalan inilah yang bermain dalam fikiran presiden semasa waktu semakin menginjak pagi.
 Sahabat setianya,Critz dikenali semasa mereka sama-sama menuntut di Cornell.Ketika itu Morgan mengetuai pertubuhan pelajar,Critz pula bertugas memenuhkan peti undi.Dalam tempoh empat tahun ini,Critz bertugas sebagai setiausaha akhbar,ketua kakitangan dan penasihat keselamatan.Pernah juga dia menjadi menteri luar negara tetapi jawatan itu hanya bertahan selama tiga bulan kerana gaya diplomasi Critz yang unik hampir mencetuskan Perang Dunia Ke-3.Critz dilantik memegang jawatan terakhirnya pada bulan Oktober lepas,pada minggu-minggu terakhir pemilihan Pressiden Morgan ketinggalan jauh berbanding pencabarnya di 40 buah negeri,Critz pantas mengambil alih perjalanan kempen dan dia berjaya memulaukan seluruh Amerika Syarikat kecuali Alaska.
 Pilihan raya presiden kali ini mencatat sejarah.Belum pernah lagi penyandang jawatan mendapat sebegitu sedikit undi,tiga undi sahaja.Ketiga-tiganya dari Alaska,satu-satunya negeri yang belum dilawati Morgan atas nasihat Critz.Presiden Morgan mendapat tiga undi sementara pencabarnya mendapat 535 undi.Klah teruk.Perkataan itu pun tidak dapat menggambarkan betapa teruknya kekalahan yang dialami oleh Morgan.
 Sebaik sahaja undi dikira,ada pihak yang menasihatkan pencabarnya supaya mempertikaikan keputusan di Alaska.Alasannya,kenapa tidak mendapatkan semua undi 538 undi?Seorang calon presiden mungkin tidak akan mendapat peluang seperti itu lagi,menumpaskan sepenuhnya pihak lawan,menyapu bersih semua undi.Presiden menanggung tekanan yang hebat,sepanjang enam minggu tuntutan mahkamah tinggi akhirnya memutuskan tiga undi dari Alaska itu miliknya,dia dan Critz meraikannya dengan sebotol champagne dalam suasana hening.
 Presiden Morgan jatuh cinta dengan Alaska walaupun keputusan rasmi menunjukkan dia sekadar mendapat margin 17 undi.Dia sepatutnya tidak melawat lebih banyak negeri.
 Dia juga kalah di kampung halamannya,Delaware.Suatu ketika dahulu,para pengundi di sana mengangkatnya menjadi gabenor selama lapan tahun.Lapan tahun yang menyeronokkan.Seperti juga dirinya yang kesuntukan masa melawat di Alaska,lawannya pula langsung tidak menghiraukan Delaware.Tiada pertemuan dengan pengundi,tiada iklan di televisyen,tiada kempen langsung!Itupun dia masih mendapat 52 peratus pengundi.
 Critz duduk di kerusi kulitnya sambil memegang sebuah buku nota.Di dalamnya tercatat 1001 perkara yang perlu dilakukan segera.Dia memerhatikan presiden berjalan perlahan-lahan dari satu tingkap ke tingkap yang lain,merenung kegelapan malam dan berkhayal berkenaan kemungkinan yang tidak akan berlaku.Lelaki itu tertekan dan malu.Pada usianya 58 tahun hidupnya sudah berakhir.Kerjayanya musnah dan perkahwinannya hancur.Puan Morgan berpindah ke Wilmington dan tidak segan-segan mentertawakan kemungkinan suaminya terpaksa tinggal di sebuah kabin di Alaska.Critz pun tidak percaya yang sahabatnya boleh menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan berburu dan memancing ikan.Namun,apabila memikirkan jarak 2000 batu yang memisahkan dirinya dengan Puan Morgan,dia amat gembira.Mereka mungkin berjaya menawan Nebraska sekiranya Wanita Pertama bangsawan itu tidak memanggil pasukan football Nebraska sebagai `The Sooners'.
 Pasukan Nebraska Sooners!
 Dalam masa satu malam sahaja Morgan kehilangan undi yang sangat banyak di Nebraska dan Oklahoma,sehingga kini dia masih tidak percaya itu semua terjadi.
 Di Texas pula,Puan Morgan makan lada Texas yang sangat terkenal itu kemudian muntah-muntah.Semasa dia dikejarkan ke hospital,pemberita mengajukan mikrofon kepadanya dan dia berkata "Bagaimana orang kampung ini boleh makan benda busuk itu".
 Ada lima undi di Nebraska dan 34 undi di Texas.Masih ada harapan terselamat daripada menghina pasukan footbal tempatan,tetapi tidak ada orang terselamat jika menghina lada Texas sebegitu rupa.
 Kempen yang sungguh mencabar!Teringin pula Critz menulis buku tentangnya.Seseorang perlu membuat catatatan tentang bencana ini.
 Usahasama Morgan dan dirinya selama lebih 40 tahun sedang menuju penghujung.Critz mendapat tawaran kerja dengan  kontraktor pertahanan dengan gaji USD2000,000 setahun.Mungkin juga dia akan menjadi pensyarah kalau ada pihak yang cukup terdesak membayar gaji USD5000,000 demi mendapatkan khidmatnya.Selepas mengabdikan seluruh hidupnya kepada perkhidmatan awam,dia kini hampir bankrap dan sudah tua.Dia perlu mendapatkan wang dengan segera.
 Presiden menjual rumahnya yang tersergam di Georgetown dengan untung yang lumayan.Dia membeli sebuah ladang kecil di Alaska.Penduduk mengaguminya.Dia merancang menghabiskan masa di sana dengan berburu,memancing ikan,dan mungkin juga menulis memoirnya.Walau apa pun yang dilakukannya di Alaska,ia tidak ada kena mengena dengan politik dan juga Wanshington.Dia tidak akan menjadi menteri kanan,VIP di mana-mana majlis ataupun pakar rujuk yang berpengalaman.Tiada perarakan selamat tinggal,tiada ucapan konvensyen,tiada kerusi kehormat dalam bidang sains politik.Tiada lagi perpustakaan di kediaman presiden.Rakyat sudah menyatakan pendirian mereka dengan tegas dan lantang.Mereka tidak perlu khidmatnya dan dia tidak ada masalah hidup tanpa mereka.
 "Kita perlu buat keputusan tenang Cuccinello".kata Critz,.Presiden masih lagi berdiri di tingkap,merenung kegelapan malam dengan pandangan kosong.Persoalan tentang Delaware masih bermain di fikirannya."Siapa?"
 "Figgy Cuccinello.Pengarah filem yang didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang bintang muda."
 "Berapa umurnya?"
 "Kalau tak silap,15 tahun.'
 "Cukup muda."
 "Memang pun.Dia lari ke Argentina.Sudah 10 tahun dia di sana.Sekarang dia rindukan kampung halamannya.Dia nak balik dan buat filem sampah lagi.Katanya naluri seninya yang menggamitnya pulang."
 "Mungkin gadis-gadis muda tu yang menggamitnya pulang."
 "Yang itu pun,ya juga."
 "Kalau 17 tahun aku tidak kisah,tetapi 15 tahun itu muda sangat."
 "Dia tawarkan USD5 juta."
 Presiden berpaling memandang Critz."Dia tawarkan USD5 juta bagi mendapatkan pengampunan?
 "Ya,dia perlu balik segera.Duit itu perlu dipindah keluar dari Switzerland.Sekarang pukul 3.00 pagi di sana.
 "Dia hantar ke mana?"
 "Kita ada akaun offshore,senang saja."
 "Apa media akan buat?"
 "Mesti kecoh."
 "Selalunya pun memang kecoh."
 "Tapi yang ini pasti lebih kecoh."
 "Sebenarnya aku tidak peduli dengan media."kata Morgan.
 Jadi,mengapa kau tanya?mahu saja Critz menyoal Morgan begitu.
 "Wang itu boleh dikesan?"tanya Morgan sambil berpaling semula memandang ke luar tingkap
 "Tak boleh."
 Morgan menggaru belakang lehernya dengan tangan kanan.Memang itu tabiatnya apabila dia perlu membuat keputusan yang sukar.Sepuluh minit sebelum dia hampir melancarkan peluru berpandu ke Korea Utara,dia menggaru leher sehingga darah membasahi kolar kemeja putihnya.
 "Jawapannya tidak,15 tahun itu terlalu muda."kata presiden.
 Tiba-tiba pintu terbuka dan Artie Morgan,anak lelaki presiden meluru masuk.Sebelah tangannya memegang botol Heineken dan sebelah lagi memegang beberapa helai kertas.
 "Saya baru bercakap dengan CIA,"katanya bersahaja.Dia memakai jean lusuh dan tidak berstoking."Maynard dalam perjalanan ke sini,"katanya sambil menjatuhkan beberapa helai kertas yang dipegangnya ke atas meja dan terus keluar sambil menghempas pintu.
 Artie pasti mahu menerima USD5 juta itu tanpa berfikir panjang,tak kiralah berapa umur gadis itu,kata Critz dalam hatinya.Apa yang pasti 15 tahun tidak terlalu muda bagi Artie.Mereka mungkin dapat menawan Kansas kalau bukan kerana Artie ditangkap di sebuah motel bersama-sama dengan tiga orang ahli kumpulan sorak dan yang paling tua berusia 17 tahun.Dua hari sebelum pilihan raya pihak pendakwa raya mengugurkan pertuduhan apabila ketiga-tiga gadis itu menandatangani afidavit mengatakan mereka tidak melakukan hubungan seks dengan Artie.Sebenarnya,mereka hampir=hampir melakukannya.Hanya beberapa saat daripada keseronokan tanpa batasan,tiba-tiba ibu salah seorang gadis itu mengetuk pintu bilik dan mencegah berlakunya sebuah pesta seks.
 Presiden duduk di kerusi kulitnya dan berpura-pura menyelak-nyelak helaian kertas yang tidak berguna.
 "Apa berita terbaru tentang Backman?"soalnya. 

                ****************
Sepanjang 18 tahun menjadi Pengarah CIA,tidak sampai daripada 10 kali Teddy Maynard ke Rumah Putih.Dia tidak pernah makan malam di sana(selalu menolak atas alasan kesihatan)dan tidak pernah bertanya khabar dengan VIP dari luar negara(dia tidak langsung peduli tentang mereka),Masa dia boleh berjalan dulu,ada juga dia singgah untuk berbual dengan sesiapa yang kebetulan menjadi presiden masa itu,dan mungkin seorang dua pembuat dasar.Tetapi sejak dia berkerusi roda,perhubungannya dengan Rumah Putih hanya menerusi talian telefon.Bukan itu saja,sudah dua kali timbalan presiden dihantar ke Langley bagi bertemu dengannya.
 Satu-satunya kelebihan berkerusi roda ialah ia menjadi satu alasan yang kukuh sama ada hendak pergi ke suatu tempat ataupun tidak dan merbuat sesuka hatinya.Tidak ada orang yang mahu memaksa seorang tua yang lumpuh.
 Setelah menjadi pengintip hampir 50 tahun,kini dia lebih suka memandang apa yang ada di belakangnya apabila pergi pergi ke mana-mana.Kenderaannya adalah sebuah van putih yang tidak bertanda.Cerminnya kalis peluru dan dindingnya diperbuat daripada plumbum dengan dua pengawal bersenjata duduk dibelakang pemandu yang juga lengkap bersenjata.Kerusi rodanya yang menghadap ke belakang melekat pada lantai van.Dengan cara itu,Teddy boleh memerhatikan aliran trafik tetapi mereka tidak boleh melihat diriny.Tidak jauh dibelakang,dua buah van lagi mengekori van yang membawanya.Sebarang cubaan mendekati kenderaan pengarah dipatahkan dengan serta merta dan mereka menjangkakan tidak ada sebarang cubaan seumpama itu yang akan berlaku.Hampir seluruh dunia menyangka Teddy Maynard sudah mati ataupun menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sebuah pusat jagaan rahsia,tempat pengintip-pengintip tua dihantar bagi menanti ajal mereka.
 Teddy yang mahu mereka fikir begitu.
 Tubuhnya dibaluti selimut tebal berwarna kelabu dan dilayan oleh Hoby,pembantunya sangat setia.Sementara van yang membawanya itu meluncur pada kelajuan 60 kilometer sejam,Teddy menghirup teh hijau yang dituang oleh Hoby daripda sebuah termos sambil memerhati kereta-kereta di belakang mereka.Hoby duduk di sisi kerusi roda itu di atas bangku kulit yang dibuat khasnya untuknya.
 Teddy menghirup tea dan bertanya,"Di mana Backman sekarang?"
 "Di dalam kurungannya,"jawab Hoby.
 "Orang kita sudah ada warden sekarang?"
 "Mereka sedang menunggu di pejabatnya."
Dihirup lagi teh dari cawan kertas yang dipegang kemas dengan kedua-dua belah tangannya.Tangannya lemah,urat-uratnya sudah timbul dan pucat seperti susu.Tangan itu seolah-olah sudah mati dan sabar menunggu anggota badannya yang lain mengikut jejaknya."Berapa lama yang diperlukan bagi membawa dia keluar dari negara ini?"
 "Lebih kurang empat jam."
 "Semuanya seperti yang dirancang?"
 "Semuanya sudah sedia.Kita tunggu lampu hijau saja."
 "Aku harap si bodoh itu sependapat dengan aku."

          ****************
Critz dan si bodoh yang dimaksudkan itu sedang merenung dinding Pejabat Oval.Komen tentang Joel Backman sesekali memecah kesunyian.Mereka perlu bercakap tentang sesuatu kerana masing-masing enggan meluahkan apa yang bersarang di fikiran.
 Benarkah semua ini?
 Inikah penghujungnya?
 Empat puluh tahun,dari Cornell ke Pejabat Oval.Semuanya berakhir dengan tiba-tiba,tanpa sempat mereka membuat sebarang persediaan.Mereka berharap ada empat tahun lagi.Empat tahunn yang gemilang untuk mereka membina satu legasi,sebelum melangkah pergi secara terhormat.
 Walaupun hari sudah lewat malamm,keadaan di luar seolah-olah semakin gelap.Tingkap-tingkap yang menghadap Taman Ros berwarna hitam.Jam dinding yang berdetik menuju garisan penamat.
 "Bagaimana reaksi media jika aku beri pengampunan kepada Backman?"tanya presiden sekali lagi.
 "Mengamuk."
 "Tentu seronok."
 "Kau sudah tak ada di sini bagi melihat semua itu."
 "Memang pun,"Selepas menyerahkan kuasa pada tengah hari keesokan harinya,dia akan meninggalkan Washington menaiki jet peribadi(milik sebuah syarikat minyak) menuju ke vila seorang kawan di Kepulauan Barbadaos.Atas arahan Morgan,semua televisyen dikeluarkan dari vila itu,surat khabar dan majalah tidak dihantar ke situ dan semua talian telefon diputuskan.Dia tidak akan berhubungan dengan sesiapa pun termasuk Critz dan juga Puan Morgan sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan.Dia tidak peduli jika Washington terbakar sekali pun.Lagipun.dia sebenarnya berharap itu akan terjadi.
 Selepas ke Barbados,dia akan menyelinap ke kabinnya di Alaska dan terus memencilkan diri di sana sambil menyaksikan musim dingin berlalu bagi memberi laluan kepada musim bunga.
 "Patut ke kita ampunkan dia?"tanya presiden.
 "Mungkin,"kata Critz.
 Presiden sudah bertukar kepada kata ganti diri'kita' sekarang.Sesuatu yang sering dilakukannya apabila suatu keputusan yang sukar bakal diambil.Bagi keputusan yang mudah,sia sentiasa menggunakan 'aku'.Apabila dia memerlukan tongkat terutamanya seseorang bagi dipersalahkan dia akan mengundang Critz untuk sama-sama membuat keputusan.
 Sudah 40 tahun Critz dipersalahkan.Walaupun dia dipersalahkan.Walaupun dia sudah lali,dia juga sudah bosan dengan keadaan itu."Kalau bukan sebab Joel Backman,kita takkan ada di sini,"katanya.
 "Mungkin betul cakap kau,"kata presiden.Dia sentiasa mentatakan bahawa dia dipilih kerana strategi kempen yang bijak,berkarisma,kehebatannya memahami isu-isu semasa dan visinya untuk Amerika.Mustahil dia akan mengaku yang dia terhutang budi kepada Joel Backman.
 Tappi Critz sudah terlalu lali dan terlalu letih untuk berasa terkejut.
 Enam tahun lalu,skandal Backman menyelubungi hampir seluruh Washington dan akhirnya mencalarkan imej Rumah Putih.Awan hitam menyelubungi seorang presiden yang popular dan membuka jalan untuk Arthur Morgan masuk ke Rumah Putih.
 Kini,pada masa dia terpaksa keluar dari Rumah Putih,dia tidak akan melepaskan peluang bagi memberikan satu tamparan kepada masyarakat Washington yang memulaukannya selama empat tahun.Pengampunan untuk Joel Backman akan menggegarkan semua bangunan di D.C dan membuat media massa tidak keruan.Morgan sukan idea itu.Sedang dia menikmati kehangatan mentari di Barbados,kongres mendesak sidang diadakan,para pendakwa raya sibuk beraksi di depan kamera dan ketua-ketua jabatan pula tak henti-henti membuat wawancara di stesen televisyen berbayar.
 Presiden tersenyum memandang kegelapan malam.
    
     *************
Di atas Jambatan Arlington Memorial yang merentasi Sungai Potomac,Hoby menuang lagi teh hijau ke dalam cawan kertas Teddy."Terima kasih,"kata Teddy perlahan."Apa yang akan orang itu buat selepas dia meninggalkan pejabat esok?"soalnya.
 "Lari ke luar negara."
 "Patutnya dulu lagi dia buat begitu."
 "Dia merancang menghabiskan masa sebulan di Caribbean,sembuhkan lukanya,asingkan diri,merajuk,tunggu orang datang memujuknya."
 "Mana Puan Morgan?"
 "Dia dah ada di Delaware.Sedang main Bridge."
 "Mereka hendak berpisah?"
 "Kalau presiden bijak.Tapi,siapa tahu?"
 Teddy menghirup tehnya perlahan-lahan."Jadi,bagimana kalau Morgan menolak?"
 "Saya tak fikir dia menolak.Rundingan awal berjalan dengan lancar.Nampaknya Critz pun sudah setuju.Dia lebih rasional sekarang berbanding Morgan.Critz tahu mereka tidak mungkin sampai ke Pejabat Oval kalau bukan kerana skandal Backman.
 "Macam yang aku kata tadi,apa rancangan kita kalau dia menolaknya?
 "Tak ada apa-apa rancangan.Memang dia bodoh,tapi dia bersih."
 Mereka membelok dari Constitution Avenue ke 18 Street dan kemudian memasuki pintu pagar bahagian timur Rumah Putih.Lelaki bersenjatakan mesingan muncul dari kegelapan malam dan ejen Perkhidmatan Rahsia mengarahkan van supaya berhenti.Kedengaran bahasa kod dituturkan dan bunyi walkie-talkie bersahutan.Beberapa minit kemudian Teddy diturunkan dari van.Pemeriksaan ringkas di kerusi rodanya tidak menemui apa-apa,sekadar lelaki tua yang dibaluti selimut.

   *************
Sekali lagi Artie masuk tanpa mengetuk pintu.Kali ini tanpa Heneikennya.Dia menjulurkan kepalanya di muka pintu dan berkata,"Maynard dah sampai."
 "Jadi betullah dia masih hidup?"
 "Nyawa-nyawa ikan."
 "Bawa dia masuk."
 Hoby dan seorang timbalan bernama Priddy mengekori kerusi roda Teddy ke Pejabat Oval.Presiden dan Critz menyambut tetamu mereka dan mempersilakan mereka duduk di ruang tamu di hadapan pendiang.Walaupun seboleh-bolehnya Maynard tidak mahu datang ke Rumah Putih tetapi tempat itu sudah menjadi seperti rumah Priddy.Setiap pagi,dia perlu memberi taklimat ringkas tentang hal-hal berkaitan perisikan kepada presiden.
 Sementara menanti semua orang duduk,Teddy memerhatikan bilik itu seolah-olah mencari peranti pepijat atau peranti pendengaran.Dia hampir pasti tidak ada sebarang peranti di situ.Amalan itu dihentikan selepas skandal Watergate tercetus.Peranti yang dipasang Nixon di seluruh Rumah Putih cukup bagi menerangi sebuah pekan kecil dan dia menerima padahnya.Tetapi,Teddy sendiri yang menggunakan peranti.Ia tersembunyi di gandar kerusi roda,beberapa inci di bawah tempat duduknya.Ia alat perakam berkuasa tinggi yang merekodkan semua bunyi yang dikeluarkan pada masa 30 minit.
 Dia cuba melemparkan senyuman kepada presiden tetapi apa yang hendak dikatakannya ialah"Tak syak lagi,kau adalah ahli politik yang paling tak berbakat yang pernah aku jumpa.Hanya di Amerika saja orang macam kau ini boleh jadi presiden.
 Presiden Morgan melemparkan senyuman kepada Teddy Maynard tetapi apa yang mahu dikatakannya ialah"Sepatutnya aku dah pecat kau empat tahun lepas.Agensi kau tak sudah-sudah memalukan negara ini.
 Teddy:Aku terkejut kau berjaya kekalkan kuasa di sebuah negeri walaupun dengan majoriti 17 undi saja.
 Morgan:Kau takkan dapat cari pengganas walaupun mukanya terpampang di papan iklan.
 Teddy:Selamat memancing.Ikan yang kau dapat nanti lagi kurang daripada jumlah undi kau.
 Morgan:Kenapa kau tak mati saja,macam yang semua orang janji pada aku?
 Teddy:Presiden datang dan pergi,tapi aku tetap di sini.
 Morgan:Critz yang nak simpan kau.Sebab dia kau masih ada kerja.Aku nak pecat kau dua minggu selepas aku dilantik.
"Ada sesiapa nak kopi"tanya Critz
"Tidak,"kata Teddy.Sebaik saja Teddy memutuskan begitu Hoby dan Priddy juga turut menolak pelawaan itu.Oleh sebab orang CIA tidak mahu minum kopi,Presiden Morgan berkata,"Saya mahu.Kopi O dengan dua sudu gula.Critz memberikan isyarat kepada seorang setiausaha yang sedang menanti di pintu sisi yang separuh terbuka.
 Dia berpaling semula kepada semua yang ada di situ dan berkata"Kita tidak banyak masa."
 "Aku datang bagi membincangkan tentang Joel Backman,"pantas Teddy berkata.
 "Ya,itulah sebab kau ke mari,"kata presiden.
 Teddy tidak mengendahkan presiden dan menyambung."Seperti yang awak tahu,Encik Backman masuk ke penjara tanpa membuka mulut,Dia masih menyimpan rahsia yang boleh menggugat keselamatan negara."
 "Awak tak boleh bunuh dia,"tingkah Critz.
 "Kita tak boleh jadikan warganegara Amerika sebagai sasaran,Encik Critz.Ia salah di sisi undang-undang.Kami lebih suka sekiranya orang lain yang melakukannya."
 "Saya tak faham,"kata presiden.
 "Begini,kalau awak beri pengampunan kepada Encik Backman dan dia menerimanya,kami akan bawa dia keluar dari negara ini dalam masa beberapa jam saja.Dia perlu bersetuju menghabiskan seluruh hayatnya dalam persembunyian.Ini semua takkan menjadi masalah sebab dia tahu ada beberapa orang yang nak lihat dia mati.Kami akan pindahkan dia ke sebuah negara asing.Mungkin di Eropah supaya lebih senang kami mengawasinya.Dia akan diberi identiti baru.Dia akan bebas dan lama kelamaan orang akan lupa tentang Joel Backman."
 "Tapi masalah ini belum selesai,"kata Critz.
 "Betul.Kita akan tunggu setahun dua lagi sebelum kita bocorkan rahsia ini kepada orang tertentu.Mereka akan cari Encik Joel Backman dan bunuh dia.Apabila semua ini terjadi,kebanyakkan persoalan kita akan terjawab.
Suasana hening seketika.Teddy memandang Critz kemudian kepada presiden.Apabila dia pasti yang mereka berdua masih kebingungan,dia menyambung,"Mudah saja,tuan-tuan.Persoalannya ialah siapa yang akan bunuh dia."
 "Awak akan memerhatikan semua itu?"
 "Dengan teliti."
 "Siapa yang nak bunuh dia?tanya presiden.
 Teddy meraup kedua-dua belah tangannya dan merendahkan pandangan.Seperti seorang guru sedang bercakap dengan murid darjah tiga."Mungkin orang Rusia,ataupun China,mungkin juga Israel dan mungkin ada yang lain-lain lagi."
 Tentu ada yang lain-lain tetapi tidak ada seorang yang mengharapkan Teddy akan mendedahkan semua yang dia tahu.Dia tidak pernah dan tidak akan berbuat begitu,tidak kiralah siapa yang menjadi presiden dan berapa banyak masa yang dia ada sebelum meninggalkan Pejabat Oval.Mereka datang bersilih ganti.Ada yang empat tahun,ada juga yang lapan tahun.Ada sesetengahnya yang sukakan pengintipan,yang lain pula hanya berminat dengan kiraan undi terkini.Morgan memang dangkal tentang dasar-dasar luar negara dan dengan masa yang semakin suntuk sebelum pentadbiran berakhir,Teddy yakin yang dia tidak akan membuat lebih daripada yang sepatutnya bagi mendapatkan pengampunan itu.
 "Kenapa pula Backman nak terima tawaran itu?"tanya Critz.
 "Mungkin dia takkan terima,"jawab Teddy."Tetapi sudah enam tahun dia dikurung bersendirian.Dua puluh tiga jam sehari di dalam bilik yang sempit dan satu jam untuk cahaya matahari.Mandi tiga kali seminggu dan makanan yang teruk.Mereka kata dia sudah susut 30 kilogram.Dengar cerita,keadaannya teruk.
 Dua bulan lalu,selepas Morgan kalah teruk dalam pilihan raya dan ketika Teddy Maynard mendapat idea tentang pengampunan ini,dia menggunakan pengaruhnya dan keadaan Backman semakin buruk.Suhu di biliknya diturunkan 10 darjah dan dia mendapat batuk yang teruk sejak beberapa bulan lepas.Makanannya tawar dan dikisar dua kali serta dihidangkan sejuk.Tandasnya sering kali tidak berfungsi.Pengawal sering mengejutkannya pada waktu malam dan panggilan telefon disekat.Perpustakaan undang-undang yang dilawatinya dua kali seminggu tiba-tiba jadi kawasan larangan.Sebagai peguam,Backman tahu hak-haknya dan dia mengancam menfailkan pelbagai litigasi terhadap pihak penjara dan kerajaan,namun dia belum lagi berbuat demikian.Semua ini melemahkan dirinya.Dia sudah mula meminta pil tidur dan Prozac.
 "Awak nak saya beri pengampunan kepada Joel Backman supaya awak boleh aturkan agar dia dibunuh?"soal presiden.
 "Ya,"kata teddy tanpa selindung."Tapi bukan kita yang mengaturnya."
 "Tetapi itulah yang akan terjadi."
 "Ya."
"Dan kematiannya demi keselamatan negara kita?"
 "Tepat sekali."



    BERSAMBUNG.......

0 komen: